
WASIAT LUQMAN YANG DIWASIATKAN
KEPADA
IBU BAPA
Wasiat
turut memainkan peranan yang penting di dalam berdakwah.'Bapa' memikul
tugas yang amat berat untuk memelihara kebahagiaan keluarga yang terdiri dari
isteri dan anak-anak.Kita telah dihidangkan oleh Al Quran bagaimana Luqman
al-Hakim mendidik anaknya.Dan sebagaimana yang dimaklumi sebuah surah
khusus di dalam Al Quran diberi nama dengan nama Surah Luqman.
Ramai di kalangan umat Islam tidak
mengetahui bahwa 'wasiat' yang diberikan oleh Luqman kepada anaknya itu
merupakan salah satu 'teknik' di dalam berdakwah.Sekiranya teknik ini
diamati lalu dipraktikkan di dalam kehidupan seharian,nescaya anak-anak akan
lahir sebagai muslim yang beriman dan bertaqwa kepada Allah. Bertuahlah sebuah
keluarga yang mempunyai anak-anak seperti mereka.Mempunyai generasi yang
diibaratkan umpama purnama yang menerangi kegelapan malam.Ayuh ! Wahai ayah dan
ibu,wasiatkan kepada anak-anakmu seperti mana wasiat yang diajar oleh Luqman
al-Hakim!!!
Dr.Wahbah Az-Zuhaili telah berkata di dalam bukunya 'Tafsir Munir':
"Al Baidhawi telah
berkata bahwa nama Luqman sebenarnya ialah Luqman bin Ba'ura.Beliau
bukannya nabi tetapi jumhur mengatakan bahwa beliau seorang yang
bijaksana.Diberikan kepadanya Al Hikmah yaitu kelebihan pada
aqalnya,cerdik dan perkataan atau kalam yang dikeluarkannya memberi kesan
kepada manusia.Nama sebenar anaknya ialah (mengikut As-Suhaili) An'am atau
Asykam atau Matan atau Tharan"
Abd.Rahman Hassan Al Maidani berkata di dalam bukunya 'Fiqh Dakwah' bahwa di sana
terdapat 14 jenis permasalahan yang dapat dipelajari melalui
kisah Luqman mendidik anaknya melalui 'wasiat'.Oleh itu marilah sama-sama kita
menilai wasiat tersebut yang mengandungi14 permasalahan
penting buat umat Islam selepas ini.
U/P :
1.
Tulisan berikut selepas
ini berdasarkan terjemahan dan olahan melalui buku karangan Dr.Wahbah
Az-Zuhaili dan Abd.Rahman Hassan Al-Maidani yang tersebut di atas.
- Untuk memudahkan anda,sila rujuk terjemahan/tafsir Al Quran
bagi ayat 13-19 Surah Luqman.
Permasalahan Pertama:
Perkara pertama yang diajar oleh
Luqman kepada anaknya ialah jangan Syirik kepada Allah.Disebutkan di
dalam wasiat ini,bahwa syirik kepada Allah adalah kezaliman yang amat
besar.Mengapa? Karena ia mengandungi syirik terhadap Rububiyatullah (Allah
Yang Maha Berkuasa memelihara alam semesta ) dan syirik terhadap Uluhiyatullah
(Tidak ada tuhan yang disembah melainkan Allah).Atau dengan ertikata lain,
mempersekutukan Allah dengan sesuatu lain yang juga mampu memelihara alam
semesta dan mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang lain yang juga layak
untuk disembah.Inilah Syirik!!!
Meskipun syirik terhadap
Uluhiyatullah lebih ringan dari syirik terhadap Rububiyatullah, akan
tetapi Allah tidak akan mengampuni dosa orang yang mati dalam hal demikian!
Syirik sebesar-besar kezaliman.Zalim pula bererti meletakkan sesuatu bukan di tempat yang
sepatutnya.Lagi sekali kita ingin mengajukan soalan.Mengapa syirik dikatakan
zalim? Telah disepakati,bahwa Allah lah yang menciptakan makhluk semesta
alam.Allah jua yang menurunkan nikmat.Adakah layak kita samakan kekuasaan Allah
ini dengan sesuatu kuasa yang lain? Jika ada di kalangan manusia yang
menyamakan kekuasaan Allah dengan kuasa yang lain maka ia telah melakukan
kezaliman!!!
Allah sahaja yang layak disembah
dan diagungkan kerna apa yang dilakukan-Nya itu tak mampu dilakukan oleh kuasa
lain.Tetapi jika kuasa lain yang diagungkan,maka inilah kezaliman.Yaitulah
meletakkan sesuatu bukan di tempat yang sepatutnya.............
Inilah yang diperkatakan melalui ayat
13 surah Luqman yang bermaksud:
"Wahai anakku!Janganlah
engkau mempersekutukan Allah.Sesungguhnya mempersekutukan Allah itu adalah
kezaliman yang amat besar."
Permasalahan Kedua:
Luqman mengajar anaknya supaya
bersyukur kepada Allah di atas anugerah nikmat-Nya yang tak terhitung luas
dan banyak.Dan kesyukuran mengandungi erti: Balasan perbuatan yang indah dan
baik dengan perbuatan yang juga baik dan indah.Termasuk di dalam erti kata
syukur ini ialah beribadah kepadaNya dengan melakukan ibadat-ibadat seperti
yang disyariatkan,mendekatkan diri kepadaNya,menuntut keredhaan-Nya dan
memuji-Nya serta menghadapkan diri dengan berdoa kepadaNya yang Maha Esa.
Memuji lebih umum dari bersyukur
karena hak mutlak kepujian itu diberikan ke atas yang dipuji pabila bersifat
dengan sifat atau sifat-sifat yang baik.Hatta yang dipuji itu tidak melakukan
sesuatu kebaikan terhadap pemuji.
Dan peringatan 'kesyukuran' kepada
Allah ini dikaitkan dengan pembalasan pada Hari Qiamat.Jika sekiranya
kesyukuran itu kepada Allah ,maka akan mendapat balasan pahala dan jika
sebaliknya akan mendapat balasan siksaan di atas kekufuran dan keingkaran.
Inilah yang diperkatakan melalui ayat
14 surah Luqman yang bermaksud:
"Dan kami wasiatkan
(perintahkan) kepada manusia supaya berbuat baik kepada ibubapanya.........Bersyukurlah
kepadaku dan..........Kepadaku tempat kembali.".
Permasalahan Ketiga:
Luqman mendidik anaknya agar berterima
kasih kepada ibubapa di atas susah payah dan jerit perih mereka membesarkan
dan mendidik anak dengan segala macam pemberian dan kebaikan untuk anak
tersayang.Tunaikan hak keduanya terutama kepada ibu.Karena ibu bersusah payah
menanggung penderitaan bermulanya dari proses mengandung sehinggalah melahirkan
anak,menyusu sehingga tamat tempoh berakhirnya penyusuan selama 2 tahun dan
mentarbiyah anak siang dan malam.
Sesungguhnya ketaatan kepada
ibubapa walaupun berlainan agama adalah wajib diikuti kecuali pabila disuruh
mengerjakan maksiat dan meninggalkan amal ibadat yang disyariatkan oleh
Islam.Maka ketika itu haram mentaati perintah itu!!!
Lihatlah tingkatan terima kasih
(syukur) yang ditonjolkan melalui wasiat ini.Terima kasih/kesyukuran kepada
ibubapa datang selepas syukur kepada Allah. 'Logiklah' bahwa ucapan terima
kasih/syukur ini pertama-tamanya buat Khaliq (pencipta).Selepas itu barulah
diikuti pula buat makhluk yang didahului oleh ibu bapa yang tercinta.
Inilah yang diterangkan melalui ayat
14 surah Luqman yang bermaksud:
"Dan kami wasiatkan
(perintahkan)kepada manusia supaya berbuat baik kepada ibu bapanya.Ibunya
mengandungnya dengan menderita kelemahan di atas kelemahan dan menceraikan
menyusu dalam 2 tahun.Bersyukurlah kepadaku dan kepada ibu
bapamu! Kepadaku tempat kembali"
Permasalahan Keempat:
Luqman mendidik anaknya dengan mencegah
anaknya dari mentaati ibubapa yang mendesak atau mengajak supaya mensyirikkan
Allah dan segala macam perbuatan maksiat yang dilarang Allah.
Akan tetapi sebagai
anak,ibubapanya harus dilayani ,ditemani dan digauli dalam suasana yang penuh
kebahagiaan dan kasih sayang.Anak juga harus melakukan kebaikan kepada mereka
berdua seperti menjaga hal ehwal kewangan,menghormati dan berkhidmat kepada
mereka.
Inilah yang diterangkan melalui ayat
15 surah Luqman yang bermaksud:
" Dan kalau keduanya memaksa
engkau supaya mempersekutukan Aku, apa yang tiada engkau ketahui ,janganlah
dituruti;dan pergaulilah keduanya di dunia ini dengan secara patut"
Permasalahan Kelima:
Luqman menasihati anaknya agar melalui
jalan yang dilalui oleh mereka yang kembali bertaut kepada Allah dengan
keimanan ,ketaatan dan meredah jalan yang lurus (jalan yang Allah anugerahkan
nikmat kepada mereka).Bukan jalan yang dilalui oleh mereka yang dimurkai Allah
dan mereka yang sesat!
Mereka yang kembali kepada Allah
ini terdiri dari kalangan para Rasul,Nabi,orang benar dan sesiapa sahaja yang
mengikuti mereka dengan keikhsanan dari kalangan orang mukmin.
Inilah yang diterangkan melalui ayat
15 surah Luqman yang bermaksud:
"Dan turutlah jalan orang
yang kembali kepada KU "
Permasalahan Keenam:
Luqman berpesan kepada anaknya
supaya melakukan 'pemerhatian' tentang Hari Qiamat,urusan al-
Qadha',pembalasan amalan serta melakukan pemerhatian terhadap segala arahan
menyuruh dan meninggalkan sesuatu perkara di dalam menongkah arus dunia ini.
Inilah yang diterangkan melalui ayat
15 surah Luqman yang bermaksud:
"Nanti kamu akan kembali
kepada KU dan akan AKU beritakan kepada kamu apa yang telah kamu kerjakan"
Permasalahan Ketujuh:
Luqman menerangkan kepada anaknya
akan 'syumul'nya Ilmu Allah melewati ilmu manusia.Allah bebas melakukan
apa sahaja tanpa ada halangan.Allah mendatangkan sesuatu yang diinginkanNYA
dari segenap tempat yang tak mampu dibuat oleh makhluk.
Sesuatu kebaikan ,kejahatan,kezaliman
dan kesalahan yang diumpamakan seperti berat biji sawi walaupun tersembunyi
jauh di dalam batu atau jauh berada di tempat yang tinggi seperti langit atau
jauh berada di sedalam-dalam tempat seperti di dasar bumi akan didatangkan oleh
Allah jua pada Hari Qiamat untuk dihisab / dihitung dan diberi ganjaran dosa
atau pahala.
Inilah yang diterangkan melalui ayat
16 surah Luqman yang bermaksud:
"(Kata Luqman):Hai anakku!
Sesungguhnya jika ada (amal engkau) seberat biji sawi dan ada (tesembunyi)
dalam batu,di langit atau di bumi ,itu akan dikemukakan oleh Allah dan Allah
itu Halus(mengerti hal-hal yang halus) dan Cukup Tahu"
Permasalahan Kelapan:
Luqman menyuruh anaknya agar menunaikan
solat/sembahyang kerna solat merupakan fardhu yang difardhukanNya melalui
utusanNya di bumi( dari kalangan Nabi dan Rasul).
Selepas manusia ditegah dari
syirik dan ditakutkan dengaan Ilmu Allah dan QudratNya yang tak dapat
ditandingi oleh sesiapa,datanglah arahan supaya beramal dengan amalan-amalan
yang serasi dengan prinsip-prinsip Tauhid yaitu antaranya solat / bersembahyang
.Solat adalah tiang agama.Dalil keimanan dan yakinnya hamba terhadap Ilahi.
Jalan mendekatkan diri kepada Nya dan membantu mencegah kemungkaran, kekejian
dan mensucikan diri.
Inilah yang diterangkan melalui ayat
17 surah Luqman yang bermaksud:
"Hai anakku! Dirikanlah
solat/sembahyang "
Permasalahan Kesembilan:
Luqman menyuruh anaknya berbuat
yang ma'ruf / kebaikan dan mencegah kemungkaran .Ini menunjukkan kepada
kita bahwa arahan supaya menyuruh berbuat kebaikan dan mencegah kemungkaran
dari 'tugasan' yang terkandung di dalam seruan Ilahi kepada Agama Islam
semenjak dahulu lagi…
Inilah yang diterangkan melalui ayat
17 surah Luqman yang bermaksud:
"Suruhlah mengerjakan yang
baik,cegahlah perbuatan yang buruk"
Permasalahan Kesepuluh:
Luqman menasihatkan anaknya agar bersabar
di atas segala perkara yang dibenci yang menimpa diri samada musibah itu
datang dari Ilahi menguji diri,harta , suami isteri dan anak-anak .Atau musibah
ini berpunca dari bertembungnya dengan masyarakat yang membenci pendakwah
(pendakwah bersifat pembawa hidayat,pemberi ingatan ,pembaik pulih dan
pelindung) pabila menyeru ke arah kebaikan dan mencegah kemungkaran dan apabila
pendakwah mengajak manusia kepada Agama Allah yaitu Islam serta lain-lain
bidang atau cabang-cabang kebaikan.
Dimulakan wasiat dengan arahan
solat / bersembahyang dan ditamat dengan arahan supaya bersabar. Mengapa ?
Karena solat tiang agama dan sabar merupakan asas kekalnya ketaatan sepanjang
masa.
Secara jelas dapat difahami ,bahwa
sabar menahan musibah ini tergolong di dalam 'perkara yang berhajat kepada
kehendak yang kuat dari tahap keazaman'.
Inilah yang diterangkan melalui ayat
17 surah Luqman yang bermaksud:
"Dan berhati teguhlah
menghadapi apa yang menimpa engkau ; sesungguhnya (sikap) yang demikian itu
masuk perintah yang sungguh-sungguh"
Permasalahan Kesebelas:
Luqman menasihati anaknya agar jangan
takabbur dengan apa-apa pergerakan sekalipun yang menunjukkan kesombongaan
dan ketinggian diri di depan manusia.
Luqman bepesan agar jangan
memaling muka apabila bercakap dengan manusia kerna ia menunjukkan sifat
takabbur dan menghina(merendah-rendahkan seseorang). Jangan takabbur dan
merendah-rendahkan seseorang.Jangan memaling muka,membantah atau membangkang
tanpa usul periksa .Akan tetapi sentiasalah tawadhuk(merendahkan diri)
,berlembut, ,manis bicara,senang diajak berbicara,seronok diajak berbicara,riak
muka yang gembira,seronok ,ramah dan menjadi pendengar yang baik.
Inilah yang diterangkan melalui ayat
18 surah Luqman yang bermaksud:
"Janganlah engkau memalingkan
muka engkau dari manusia karena kesombongan"
Permasalahan Kedua Belas:
Luqman nasihati anaknya agar tidak
berjalan di atas muka bumi ini dengan menampakkan keseronokan yang amat sangat
hinggalah akhirnya keseronokan ini melebihi had di dalam pergerakannya
,membedakan kelakuannya dengan manusia lain karena ia mengandungi ciri-ciri
berlebih-lebihan atau jauh dari kesederhanaan .
Dengan ciri ini orang yang gembira
ini akan menjadi takabbur dan sombong yang melebihi had syara'.
Inilah yang diterangkan melalui ayat
18 surah Luqman yang bermaksud:
"Dan janganlah berjalan di
bumi dengan angkuh ! Sesungguhnya Allah tidak mencintai sekalian orang yang
sombong dan membanggakan diri"
Permasalahan Ketiga Belas:
Luqman menasihati anaknya agar besederhana
dan sekata ketika berjalan. Tidak terlalu perlahan hingga menampakkan
kemalasan, kelambatan yang amat sangat sehingga menampakkan diri lemah
konon-kononnya ingin dikatakaan 'zuhud'. Tidak terlalu laju sehingga
menonjolkan sikap berlebih-lebihan serta tidak peduli kepada suasana
sekeliling.
Oleh itu sikap sederhana dan
sekata di antara lambat dan laju merupakan tanda / lambang seseorang itu
tenang,beraqal dan diri yang cergas dan sihat.
Inilah yang diterangkan melalui ayat
19 surah Luqman yang bermaksud:
"Dan besederhanalah dalam
berjalan"
Permasalahan Keempat Belas:(terakhir)
Luqman menasihati anaknya agar merendahkan
suara dan mencukupi suaranya didengari mengikut hajat atau keperluan
pendengar.Inilah antara adab bersuara dan bercakap untuk keperluan.
Diterangkan dalam wasiat ini
,bahwa mengangkat suara tanpa hajat/keperluan merupakan perkara yang dikutuk
,dikecam ,tidak disukai dan buruk.Contoh yang akan diberikan dalam ayat berikut
ini bahwa seburuk-buruk suara adalah suara himar / keldai karena suara himar /
keldai awalnya suara mengeluh dan akhirnya suara menguak /melalak.
Inilah yang diterangkan melalui ayat
19 surah Luqman yang bermaksud:
"Dan lembutkan lah suara
engkau! Sesungguhnya suara yang amat buruk ialah suara himar"
0 comments:
Post a Comment